Tuesday, December 29, 2009

Aku Tetap Bukan Dia...


Seawal pagi aku telah terjaga dari lenaku. Melihat jam yang pada ketika itu menunjukkan pukul lima pagi. Bingkas aku bangun dan bersiap sedia untuk aku meneruskan rutin harian ku. Selepas mandi, sementara menanti masuknya waktu Subuh aku pun menjerang air dan menyediakan jemput-jemput yang telah aku sediakan sesudah kepulangan aku dari bertugas semalam.

Kini sarapan ku yang serba sederhana telah aku sipkan. Sementara aku makan, aku pergi menunaikan dahulu solat. Selepas itu barulah aku boleh makan jemput-jemput yang hangat itu. Bersama-sama dengan kopi pekat yang aku buat aku menjamah sarapan pagi ku itu seperti biasa. Kemudian aku simpan sedikit jemput-jemput tersebut untuk dijadikan bekalan aku ketika bekerja nanti.

Dengan berbekalkan sebotol air kopi bersama sebekas jempt-jemput yang menemani aku ke tempat kerjaku. Dengan menaiki motor usang yang menjadi peningalan arwah ayahku, aku melalui denai yang dilitupi dengan embun pagi yang masih mentah. Melalui kawasan perkuburan yang kecil sehinggalah aku tiba di persimpangan jalan yang seterusnya membawa ku ke jalan besar. Sunyi, lengang dan sepi. Itulah yang dapat aku gambarkan keadaan jalan pada ketika itu yang hanya terdapat beberapa kerat sahaja kenderaan yang melaluinya.

Setelah menempuh hampir setengah jam perjalananku, aku pun tiba ke tempat dimana aku menjalankan tugas yang sama setiap hari. Jam di tangan menunjukkan pukul 6.45 pagi dan waktu itu mula terbit mentari pagi yang mula menyinari seluruh alam maya ini. Aku mengambil kunci jentera yang sudah sekian lama menjadi permainanku. Setelah ku hidupkan enjinnya aku membiarkannya untuk seketika agar perjalananku nanti lancar tanpa sebarang gangguan teknikal.

Aku membelek-belek enjin jentera itu. Ku perhatikan juga tayarnya. Semuanya dalam keadaan yang sempurna. Selepas itu aku masuk ke bilik operasi untuk melihat rutin ku pada hari ini. Sama seperti hari-hari lain. Aku melepaskan nafas lega tanda kesyukuranky terhadap illahi yang memberikan aku tenaga mahupun nyawa untuk aku menjalankan tugas ku pada hari ini.

Aku pun mulakan perjalanku kembali bersama jentera milik majikanku itu. Aku menyusuri jalan yang aku lalui tadi untuk menuju pula ke tapak pembinaan yang akan menjadi tempatku untuk bekerja hari ini. Dan ketika itu jalan yang ku lalui sudah mulai sesak dengan kenderaan yang menggunakan jalan tersebut. Dan masih aku ingat lagi semasa aku mula-mula bekerja dahulu. Jalan yang aku lalui itu tidak seperti yang aku lalui pada hari ini. Saban hari kenderaan yang melaluinya semakin penuh.

Dan kini aku tersepit disebalik kesesakan hasil kepesatan ekonomi disitu. Aku menjadi tempat untuk melepaskan kemarahan orang. Juga tohmahan orang. Bukannya aku pinta untuk melalui jalan itu, tetapi disebabkan tanggungjawab yang harus aku laksanakan, aku gagahi jua perjalananku itu. Sebab aku sudah lali dengan ragam manusia yang aku perhatikan setiap hari. Aku bersyukur dengan apa yang aku ada. Aku redha dengan setiap perkara yang terjadi. Walaupun hatiku sayu memikirkan nasibku saban hari tetapi aku hanya acuh tak acuhkan saja lamunanku itu.

Aku bukannya seperti Si Dia yang pernah bertakhta dihati ku suatu masa dahulu. Punyai pelajaran yang tinggi. Seorang lulusan Ijazah dari luar negeri. Aku juga tidak memiliki kekayaan seperti dia yang berjawatan besar di kota besar. Aku juga tidak memiliki harta berupa wang ringgit yang banyak juga kereta mewah dan rumah besar. Cukuplah sekadar hati yang ikhlas dan pekerjaan yang aku sandang ketika ini. Aku sedar aku hanya seorang lulusan SPM, berjawatan kecil dan hanya menjadi pemandu jentera. Tetapi aku bersyukur dengan segala kurnian dan pemberian dari yang maha esa.

Mungkin kesempitan hidup yang aku lalui selama ini telah menyuntik semangat buat aku untuk aku meneruskan perjalanan hidupku yang masih jauh ini. Dan belum tentu juga aku mengetahui bila masanya tiba aku menutupkan mataku buat selamanya. Hanya iringan doa ku hulurkan buat kebahagiaan Si Dia yang pernah melukakan hatiku ini. Kerna semuanya adalah suratan yang maha esa. Walau sejauh mana pun aku pergi, walau sesukar mana sekalipun perjalanan hidupku ini. Yang pastinya Aku tetap bukan Dia…

Cerita ini hanya nukilan dariku semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan watak yang dipaparkan pada keratan gambar tersebut.

No comments:

Post a Comment