Tuesday, November 9, 2010

Mee Bandung Muo yang Best di Tangkak





Kedai Mee Bandung Muar
Lokasi : Belakang Bus-Stand Tangkak.

Kali ini anda semua akan diperkenalkan dengan satu lagi kedai yang istimewa dengan menunya iaitu Mee Bandung Muar. Cuma kali ini kedai yang dimaksudkan bukan terletak di dalam kawasan jajahan Muar, Bandar Maharani. Apa yang menarik dan uniknya kedai ini adalah kerana lokasi kedainya yang terletak di belakang Bus-Stand Tangkak. Mungkin ramai yang mengetahui kedai ini. Kedai ini menghidangkan aneka jenis juadah, dari makanan tengah hari iaitu nasi campur terdapat juga makanan yang lain seperti di kebanyakan restoran. Antara menu yang menjadi keistimewaan kedai ini adalah Mee Bandung Muar dan Sup Tulang. Jadi kepada anda yang berada di kawasan Selatan Semenanjung tanah air yang ingin merasai Mee Bandung Muar selain di Muar, bolehlah mencubanya di kedai Mee Bandung Muar belakang bus-stand Tangkak. Sekiranya anda datang ke Tangkak untuk membeli kain ela untuk dijadikan langsir ataupun pakaian bolehlah singgah sebentar di kedai yang dimaksudkan. Anda bolehlah merujuk peta lokasi yang disertakan untuk mengetahui kedudukan kedai ini.

Nikon D90 + Kit yang ku ingini





30 Oktober 2010, Sabtu
Lokasi : Teluk Rimba, Parit Penghulu, Ledang Johor

Hari ini aku telah menjadi photographer untuk gambar resepsi pra perkahwinan Pak Lan bersama Azura. Lokasi yang sudah ditetapkan adalah sekitar Teluk Rimba dan Parit Penghulu. Berbekalkan Nikon D90 yang baru sahaja Pak Lan beli aku pun berekplorasi bersama kamera tersebut. Dari satu kawasan ke satu kawasan yang dianggap menarik untuk diabadikan sebagai kenangan untuk dibukukan. Aku dan bakal pengantin menjelajah ke setiap ceruk kawasan yang unik di situ. Dari kawasan yang berlatar belakangkan sawah padi, batas sawah, gunung ganang, sungai yang dihuni teratai sehinggalah ke kawasan Bandar Tangkak.

Dan hasilnya dengan menggunakan Nikon D90 tersebut memanglah memuaskan hati kedua-dua pihak. Gambar yang terhasil begitu mengagumkan dengan kawalan sepenuhnya yang menggunakan tangkapan secara format manual. Memang berbaloi sangat kepada mereka yang memiliknya. Masih banyak lagi yang perlu aku eksperimenkan dengan D90 tu sebab tak banyak efek yang dapat aku buat. Memandagnkan dah lama aku tak usik kamera sebegitu. Aktif pun masa aku bergelar siswa dulu. Banyak yang kena aku catch up kalau nak dapatkan balik stroke yang pernah aku hasilkan dulu. Hanya menanti masa untuk aku milikinya satu sebagai salah satu gadjet wajib aku. Insyaallah.

Ku Terperangkap Dalam...



05 Oktober 2010, Selasa
Lokasi : Bilik Cempaka Sari, Hotel UiTM Shah Alam

Hari ini masuknya hari kedua aku tersenarai untuk menyertai satu program yang dianjurkan oleh Unit Pengurusan Kualiti InED. Program yang dimaksudkan adalah Kursus Audit Dalam Versi 2008. Dan kursus ini berlangsung selama 4 hari bermula semalam. Antara topik yang dibicarakan adalah mengenai aspek-aspek penting di dalam pengauditan sesebuah organisasi ataupun agensi. Dan kursus ini juga lengkap dengan ujiannya selama 3 hari. Walaupun ujiannya boleh rujuk buku tetapi bagi mereka yang pernah menyertai kursus ini harap maklumlah betapa tebalnya buku yang nak kena semak untuk mencari sebaris jawapan yang tepat lagi sahih.

Pada sebelah pagi boleh dikatakan kesemua peserta memberikan tumpuan yang sewajarnya. Dan di sebelah petangnya mulalah acara yang beraneka ragam demi mencukupkan jangkamasa yang telah ditetapkan iaitu bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Dan bila mata yang buntang mula mengecil maka timbullah idea untuk menghilangkan rasa mengantuk yang melanda. Dari situ lahirlah dua ekor burung yang tidak bersalah terkurung di sebalik sangkar kaca yang mewakili " Diri kerdil yang terkurung " dan yang " bebas melata dan bertenggek menyaksikan yang terkurung untuk bebas ". Semuanya seperti yang tertera pada gambarajah berikut.

Pengisian dari kursus ini adalah sekiranya peserta tidak lulus di dalam ujian audit dalam yang telah berlangsung, peserta yang terbabit akan mengulang subjek yang sama sehinggalah mereka lulus dan boleh diiktirafkan untuk menjadi juru audit yang terlatih dan bertauliah. Impaknya di sini adalah akan adanya lagi makan percuma untuk para peserta. Jadi seperti kata The Changcuters " Mencoba Sukses ".

Thursday, November 4, 2010

Seri Kembangan Valley Expressway Melancarkan Perjalanan




Lebuhraya Lembah Seri Kembangan (SKVE)
Lokasi : Atas highway la, mana lagi

Saban hari mesti ada sahaja benda baru yang akan wujud di sekeliling kita. Berbagai kemajuan yang lahir di atas bumi yang merdeka ini. Salah satu pembaharuan yang lahir di sekitar Selangor ini adalah dari segi jalan perhubungan yang merentasi di buminya. Banyak terbinanya jalan yang memudahkan lagi kita untuk ke mana sahaja dalam waktu yang singkat. Sebuah lagi mercu tanda baru yang menghubungkan Kelang dan Shah Alam menuju ke Seri Kembangan telah terbina. Inilah dia Lebuhraya Lembah Seri Kembangan atau Seri Kembangan Valley Expressway (SKVE).

Lebuhraya ini hampir siap sepenuhnya dan kini masih dalam 20% pembinaannya yang tinggal dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang tahun hadapan. Walau bagaimanapun untuk memudahkan urusan perjalanan semua, SKVE telah beroperasi dari Saujana Putra sehinggalah ke Plaza Tol Ayer Hitam. Mesti ada yang tertanya mengenai harga tolkan. Okeylah untuk harga yang saya kena bermula dari tol Batu 3 Shah Alam sehingga Plaza Tol Ayer Hitam berhampiran Seri Kembangan, nilai tolnya adalah sebanyak RM3.90. Buat masa sekarang ini jalan tersebut kira masih lengang lagi dari kesesakan lalu lintas. Bermakna jalannya lengang dan kita boleh memandu dengan begitu aman dan tenang. But beware it's to creepy on the midnight. Sunyi sepi, dan jarang sekali untuk kita bertembung dengan kereta yang lalu lalang.

Apa yang menariknya lebuhraya ini kerana kita akan melalui satu kawasan di mana kita dikelilingi oleh takungan air yang besar. Kita akan merentasi kawasan lombong Puchong yang terkenal itu. Pemandangannya memang menarik ketika diwaktu senja dan bila malam reflek cahaya lampu kawasan perumahan benar-benar menggamit pemandangan yang indah. Sesuai untuk kaki photographer yang ingin bereksperimentasi dengan lensa kamera masing-masing. Jadi sekiranya anda berkesempatan untuk melaluinya jangan terlepas peluang untuk berhenti di bahu jalan untuk sementara waktu bagi menangkap panorama yang indah di sini.

P/S: Aku cuba untuk bereksperimentasi dengan teknik HDR.

Kedai Sup Utara Kak Zah




Kedai Sup Utara Kak Zah
Lokasi : Medan Selera Taman Setiawangsa

Hari ini saya ingin membawa semua untuk mencuba satu lagi kedai sup. Bukan Sup Mamak Style tapi Sup Utara. Kedai yang dimaksudkan adalah gerai Kak Zah Nasi Goreng Udang yang terletak di Medan Selera Taman Setiawangsa. Apa yang istimewanya kedai ini sudah semestinya Sup Utaranya yang boleh dimakan bersama Nasi Putih, Moi ataupun Mee. Berbagai jenis sup yang disediakan except sup ekor. Selain sup ekor turut disediakan adalah nasi goreng istimewanya iaitu Nasi Goreng Udang. Terdapat juga aneka jenis makanan lain yang tersenarai dalam menunya.

Rasa supnya yang asli ditambah dengan sambal kicapnya yang betul-betul mengancam. Diingatkan kepada mereka yang tidak tahan dengan makanan pedas agar letak satu sudu kecil dulu untuk merasa kepedasannya. Daging lembunya yang empuk sesuai dimakan semua peringkat umur. Menu yang saya nikmati hari ini adalah Sup Perut campur Daging bersama dengan Nasi Goreng Cina. Aromanya supnya yang harum dengan hirisan daun sup dan bawang meningkatkan lagi selera untuk makan. Jadi kepada semua yang ingin mencuba sup yang dimaksudkan ini bolehlah berkunjung ke Gerai Sup Kak Zah. Selamat mencuba.

Kilang Ribut vs Kabus Ribut




30 Oktober 2010, Sabtu
Lokasi : Gunung Ledang pintu A,Sepanjang Perjalanan menuju ke Jementah

Hari ini aku telah ditugaskan untuk menjadi photographer sempena Pre-Wedding Photoshoot Pak Lan & Zura. Ondaway pergi ambil Zura di pertembungan jalan, mata aku meliar ke kiri kanan jalan sambil mencari subjek untuk ditangkap gambar. Sedang puas aku mencari, tiba-tiba sayup di kejauhan aku nampak kepulan asap putih yang mula keluar dari corong asap yang tinggi. Cuaca waktu itu agak berkabus tebal sebab aku tak nampak langsung Gunung Ledang di sebelah aku. Putih kebiru-biruan, sejuk embun terasa membasahi tubuh kerdil aku ni.

Dari situasi dan suasana pagi tersebut yang putih ditambah dengan asap yang juga memutih jadi aku pun capturelah beberapa keping gambar. The result is jadilah seolah-olah kilang tersebut beroperasi untuk menghasilkan kabus tebal itu. Dan aku pun gelarkan kilang tersebut Kilang Ribut. Setelah hampir dengan kawasan kilang tersebut rupanya terdapat sebuah kuari batu yang beroperasi di situ. Patutlah asapnya putih berkepul-kepul. Macam asap kapal daa....

Memburu Pencarian di IKEA



24 Oktober 2010, Ahad
Lokasi : IKEA, Mutiara Damansara

Dah lama aku tak turun IKEA. Alang-alang orang dah ajak aku pun menjoinkan dirilah. Masih lagi menjadi bodyguard untuk Kaka dan Mat Pi akupun bawalah diorang ronda-ronda dalam IKEA untuk melihat antara barangan terbaru yang ditawarkan. Dari satu bahagian-bahagian ke satu bahagian aku menjelajah di IKEA tu. Dari petang membawa ke malam. Setelah tiada barang yang aku jumpa dan berkenan di hati aku pun melangkah untuk keluar pulang. Dan sementara menunggu saudara mara aku membayar barangan yang diborong aku pun bawalah budak-budak ni pergi jalan-jalan dekat kedai di area Ikano Power Centre. Selepas 3 jam berada di situ kitorang pun pulang menuju semula ke Cheras. Begitulah serba sedikit hari ku berjalan seperti biasa untuk menanti tibanya hari esok.

Melihat Haiwan Dapat Merehatkan Minda









16 Oktober 2010, Sabtu
Lokasi : Zoo Negara, Hulu Kelang

Rasanya dah lama aku tak meluangkan masa berjalan-jalan bersama keluarga. Lebih-lebih lagi bersama dengan parent sendiri. Memandangkan mereka dah ada dekat Kuala Lumpur dan bermalam di Cheras dekat rumah makcik aku, jadi aku pun plan untuk bawa diorang jalan-jalan. Kebetulan pula makcik aku nak suruh aku bawakan Kaka dengan Mat Pi pergi zoo. So Our destination is to the Zoo Negara.

Seingat aku dah lama aku tak melawat ke zoo. Last aku pergi masa tu umur aku lebih kurang 3 ke 4 tahun macam tu. Aku pun tak sure. Zoo Negara dibahagikan kepada 14 bahagian iaitu Dunia Kanak-Kanak, Pameran Enggang, Akuarium, Muzium Lebah, Kawasan Beruang, Savannah, Kawasan Orang Utan, Zoo Serangga, Alam Mamamlia, Kawasan Singa dan Harimau, Rumah Burung, Pondok Ungka, Rumah Reptilia dan Dunia Amfibia.

Selama 2 jam setengah aku mengembara di dalam Arena Zoo Negara. Sempat jugalah aku melihat persembahan haiwan-haiwan akuatik seperti Singa Laut dan Ikan Lumba-Lumba dengan aksi yang cukup menarik hasil latihan yang diberikan tenaga pengajar mereka. Aku juga berkesempatan memberi makan Rusa Sambar Indonesia di habitat kawalan mereka. Tetapi masih ada tempat yang tidak berkesempatan untuk aku melawat memandangkan budak-budak ni dah letih. Apa yang membuat aku sedikit kesal dengan lawatan kali ini apabila kebanyakan haiwan tidak aktif memandangkan mungkin masa aku datang tu masa diorang untuk berehat. Jadi setelah pusing semula ke semua bahagian dengan menaiki kereta api kitorang pun melangkah keluar dan pulang.

Plasma Lamp yang Berkaren




16 Oktober 2010, Sabtu
Lokasi : Downtown Cheras, Medan Letak Kereta, Stadium Basikal Veledrom, Bandar Tun Razak, Cheras, Malaysia

Hari ini aku berpeluang untuk membawa parent aku dan makcik aku bersama anaknya untuk membeli belah di Downtown Cheras. Dah lama niat aku nak bawa diorang cuma masa yang ada agak menyempitkan keadaan. Jadi dikesempatan yang ada aku pun membawalah diorang mengilingi gerai-gerai yang beroperasi di sekitar Downtown itu. Jalan punya jalan akhirnya kitorang pun berhentilah ke salah satu kedai yang menjual lampu hiasan. Aku pun dok melayanlah kerenah anak saudara aku bermain dengan dunia diorang. Aku pun terujalah dekat plasma lamp yang turut dijual di kedai tersebut.

Bukannya tak biasa tengok tapi inilah masanya aku dapat berada begitu hampir dengan lampu tersebut. Aku pun cubalah sentuh macam orang baru mengenali dunia ini, ngehehe... Ajaib ya sebab arus elektrik tersebut berkumpul di hujung jari aku tanpa mencederakan aku. Yang memisahkan aku dengan arus elektrik bervoltan rendah itu adalah sebuah globe kaca yang aku rasakan sangat nipis. Sebab bila aku tumpukan jari aku dekat globe tersebut katakan hampir seminint aku dapat rasakan kepanasan yang terhasil di hujung jari aku. Tapi hasilnya dapatlah aku mengcapture gambar dari jarak yang begitu dekat untuk lihat detail efek elektrik tersebut.

Raya Anak Desa UiTM









1 Oktober 2010, Jumaat
Lokasi : Padang Kawad UiTM Shah Alam

Memandangkan aku telah dilantik selaku AJK oleh pihak InED untuk Sambutan Hari Raya peringkat UiTM jadi aku kenalah create konsep seperti yang telah ditetapkan. Temanya Adalah Raya Anak Desa, dimana Dato' Visi inginkan setiap booth menampilkan kreativiti masing-masing agar kelihatan seperti suasana di kampung. Jadi berbekalkan modal yang sangat ciput aku cuba untuk menceriakan booth InED dengan sedikit sentuhan agar nampaklah kekampungannya itu. Dengan bantuan dan jasa besar dari Encik Kamarudin @ Che Din aku pun bertungkus lumus berhempas pulas bersama AJK yang lain menyiapkan dekorasi untuk booth kitorang.

Dengan ilham yang timbul dari pemerhatian Che Din, terjumpalah kitorang dengan rumpun buluh yang begitu unik di sebuah rumah berhampiran dengan Intekma Resort. Setelah mendapat keizinan dari wakil tuan rumah tersebut kitorang pun menjalankan misi menebang buluh mengikut kuantiti yang diperlukan. Dan dengan buluh yang ada maka lahirlah idea untuk menghasilkan pagar buluh dan juga tangga buluh. Ditokok tambah dengan bahan-bahan buangan yang lain seperti umbut kelapa kering bersama buah kelapa, daun-daun kering dan barangan hiasan hasil sumbangan staff InED. Menu yang telah ditetapkan untuk booth InED adalah makanan tradisional seperti Wajik, Dodol serta Bubur Sagu dan Bubur Jagung.

Dalam kelam kabut menyiapkan hiasan untuk majlis yang bermula jam 3 petang itu, setiap orang telah diberikan tugasan masing-masing. Semua booth yang terlibat bertungkus lumus menyiapkan hiasan booth mereka. Dan hujan rahmat pun turut membasahi bumi UiTM untuk seketika waktu. Nasib baiklah tidak berlarutan sehingga acara bermula. Rata-rata gerai yang menyertai menampilkan ilham mereka yang tersendiri. Ada yang bertemakan rumah Kedah, Rumah Perak, Rumah Kelantan dan macam-macam idea yang kreatif dan unik. Sedang aku dan staf-staf yang lain berkunjung ke booth-booth yang ada AJK induk untuk majlis tersebut datang untuk mencari calon bagi penghargaan untuk kategori yang dipertandingkan. Aku pun terpilih untuk menjadi one of the category yang ada. Aku terpilih untuk kategori " Teruna Anak Desa " berdasarkan penampilan aku pada hari tersebut. Dan bila nama aku diumum dan berada di atas pentas, dengan tidak semena-mena contestant yang terpilih kenalah buat Catwalk.hahaha.

Nak tak nak kenalah buat sebagai wakil untuk pihak InED. Hasilnya dapatlah aku saguhati berupa cenderahati dari UiTM induk bersempena dengan Temasya Raya Anak Desa itu. Walaupun kitorang tidak tersenarai untuk memenangi sebarang anugerah untuk booth kitorang tetapi kitorang puas dengan layanan dan juadah yang habis dihidangkan. Kepenatan semua yang ada di situ berbalas juga dengan menikmati aneka juadah dari booth yang menyertai temasya itu.

P/S: Aku dengan budak-budak ni semua bukan kenyang makan tapi kenyang sebab posing bergambor kat sume booth.Hehehe...

Tuesday, November 2, 2010

Kedai Nasi Lemak Kak Ani






Gerai Nasi Lemak Kak Ani
Lokasi : Dataran Melawati, Medan Selera Ampang Jaya

Hai semua yang mengunjungi blog ini. Sudah sekianlama blog ini tidak berupdate memandangkan kesibukan yang membelenggui penulis blogger. Okay semua, kali ini saya nak perkenalkan satu lagi kedai makan buat semua yang gemar mencari kelainan di dalam menu pemakanan seharian. Gerai yang ingin diperkenalkan ini terletak di Medan Selera Amapng Jaya. Kalau dari MRR2 menuju ke Gombak, kawasan medan selera tersebut terletak di sebelah kanan. Gerai yang dimaksudkan adalah Gerai Nasi Lemak Kak Ani. Gerai ini menghidangkan aneka jenis lauk untuk dimakan bersama nasi lemak ataupun nasi putih. Tapi setiap hari menu dia tak sama. Boleh dikatakan menu sentiasa bertukar. Selain nasi lemak, Gerai Kak Ani juga turut menyediakan nasi goreng. Apa yang menariknya nasi lemak ini adalah dari sambalnya yang secukup rasa. Rasanya seperti mengingatkan kita kepada sambal masakan kampung style. Kak Ani yang berasal dari Muar, Johor ini turut menyediakan minuman istimewanya iaitu Sirap Bandung (Muo Style) yang betul-betul kaw. Jadi apa lagi sekiranya anda berpeluang berkunjung ke Medan Selera Ampang Jaya ini bolehlah singgah untuk menikmati nasi lemak yang enak Made In Muar ini.

CT Garden, Kampung Baru





Kedai Nasi Lemak CT Garden
Lokasi : Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru Kuala Lumpur

Ni satu lagi tempat makan yang ingin dikongsikan bersama dengan semua. Mungkin ada dikalangan kita yang pernah pergi ke kedai nasi lemak ini. Kedai yang dimaksudkan ini adalah Kedai Nasi Lemak CT Garden yang terletak di Kampung Baru Kuala lumpur. Kedai yang menyajikan nasi lemak sebagai main course ini beroperasi bermula jam 6 petang sehinggalah jam 5 pagi setiap hari. Apa yang menariknya kedai ini adalah nasi lemaknya yang betul-betul murah. Bukan RM 1.50, RM 1.00 pun bukan tetapi harganya cuma RM 0.70 sen sebungkus. Ya 70 sen.

Selain terdapat nasi lemak sedap yang begitu murah turut dihidangkan beraneka jenis lauk-pauk untuk dimakan bersama dengan nasi lemak ini. Ada ayam goreng, peparu goreng, sambal sotong, sambal kerang dan bermacam lauk sampingan lagi. Pendek kata tak cukup sebungkus seorang kalau makan dekat sini. Para pengunjung juga turut dihidangkan dengan kugiran yang mendendangkan lagu-lagu yang asyik dan syahdu sebagai halwa telinga anda. Pengunjung yang datang tidak mengira usia dan bangsa, semuanya hanya kerana ingin merehatkan minda dari arus kesibukan kota dengan menikmati nasi lemak ini.

Bagi mereka yang bercadang untuk merasa sendiri kehebatan nasi lemak 70 sen ini, bolehlah meluangkan masa untuk datang ke Kedai Nasi Lemak CT Garden yang terletak di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru Kuala Lumpur. Tetapi diingatkan agar merancang masa untuk pergi kerana kedai ini sentiasa penuh dengan pelanggan yang datang walaupun jam 2 pagi. Jadi jangan lupa untuk berkunjung ya semua. Adioss...

Kolam Terbiar Tarikan Terbaru



Lokasi : Kolam Ikan Rumah Atok Aku, Kesang Ledang

Memandangkan hari untuk Pak Lan bergelar pengantin semakin tiba, jadi dengan segala usaha dan kudrat yang ada kitorang telah pun berpakat untuk mencantikkan lagi kawasan persekitaran rumah atok aku dekat Muar. Jadi program yang telah dirancang ini diberi nama "Proses Pemuliharaan Alam Sekitar Rumah". Setiap orang telah diberikan tugasan masing-masing dan kesemua yang ada mengambil bahagian, tidak terkecuali kanak-kanak yang berusia di bawah 12 tahun. Acara ini telah dibahagikan kepada tiga segmen.

Segmen pertama disertai kaum wanita yang berumur dimana mereka telah dipertanggungjawabkan untuk proses pembersihan kawasan dapur. Segmen kedua pula adalah sumbangan ahli jawatankuasa kecil yang diamanahkan untuk memikul segala beban yang ada di sekeliling rumah (cth: Almari lama / Gerobok, barangan terbuang dan terpakai. Segmen ketiga menjalankan operasi pembanterasan kotoran akuatik, dimana mereka telah menjalankan tugas membersihkan semua takungan akuatik seperti kolam ikan, tempayan dan akuarium yang turut diberi bantuan oleh kanak-kanak kecil.

Hasilnya setelah berhempas pulas seharian maka bersihlah sedikit kawasan rumah atok aku dan bebas dari gangguan nyamuk, lipan, amfibia mahupun binatang yang sangat buas. Dan selang seminggu dari tarikh proses pemuliharaan itu maka terhasillah kolam ikan yang berwajah baru setelah terbiar usang selama belasan tahun. Hasil usaha sama Pak Lan, Ayahku dan Kaka. Kini bertambah satu lagi destinasi pengunjung yang melawat ke perkarangan rumah atok aku yang turut menjadi port lepak sekeluarga apabila pulang ke desa.