Tuesday, November 2, 2010

Nelayan Air Cetek




Lokasi : Parit Empangan Lima Kesang-Sungai Rambai

Musim hujan kembali semula. Kini dengan pertambahan Bah ke dalam sungai telah menambahkan lagi rezeki dan punca pendapatan nelayan air cetek. Tidak ketinggalan juga buat penganjur aktiviti memancing yang dianjurkan serata pelusuk tanah air. Banyak penyertaan yang diterima pihak penganjur. Semuanya demi menguji kecekapan kaki pancing mengawal joran yang amat berharga buat mereka. Ada yang hadir dengan teknologi moden dan ada juga yang mampir dengan teknologi kuno. Semuanya mempraktikkan skil masing-masing demi mendaratkan ikan yang bersarang di lubuk-lubuk sungai.

Kali ini kita akan bersama dengan tiga bersaudara yang menceburkan diri di dalam aktiviti nelayan air cetek ini. Kita akan berkongsi serba sedikit pengalaman ketiga-tiga kaki pancing ini mendaratkan ikan dengan teknik yang mereka pelajari. Kita dengar apa kata mereka.

Majed (bukan nama sebenar) : Semenjak berkecimpung dalam bidang yang dianggap ekstrem ini, saya sering turun ke gigi-gigi air untuk mencuba nasib. Selain itu ia turut menguji ketahanan minda saya. lokasi pertama yang sering saya kunjungi ketika mula bergiat aktif di dalam sukan ini adalah di sekitar kawasan Pasir Gudang, Johor. Rekod yang saya pegang setakat ini pun saya dah lupa berapa banyak tangkapan yang dibuat. Kerana selain ikan saya juga berjaya mendaratkan kura-kura, Linang, Labi-labi dan juga kayu yang hanyut. Umpan yang saya gunakan, macam biasalah cacing. Kadang-kadang saya gunakan umpan tepung cekodok campur udang kering. Hari ini saya telah berjaya mengail seekor seluang serta beberapa talapia bersaiz kecil.

Zam (abang ipar): Saya begitu teruja sekali dengan hasil tangkapan kali ini. Selain talapia yang didaratkan saya juga terlepas peluang mendaratkan ikan haruan setelah ikan tersebut terlepas dari mata kail yang disentap.

Emey (bukan nama sebenar): Teknik yang saya gunakan agak unik berbanding mereka berdua yang menggunakan batang joran berteknologi tinggi bersama buluh yang telah dilentur dari rebungnya. Ini kerana dengan berbekalkan tali tangsi dan mata kail saya turut berjaya mendaratkan ikan. Kelihatannya teknik ini benar-benar berkesan. Mungkin kerana ikan-ikan tersebut tertipu dengan cara penyamaran saya yang seperti ninja ini. Mungkin ikan-ikan tersebut menyangkakan yang saya ini sebatang tunggul kayu mungkin juga patung peragaan yang menyamar menjadi manusia. Walau bagaimanapun saya benar-benar berpuashati dengan hasil tangkapan saya kali ini.

No comments:

Post a Comment