Tuesday, February 2, 2010

Litar Lumba Yang Tersohor Di Malaysia





29 Januari 2010, Jumaat
Lokasi : Jalan baru Seremban – Kuala Pilah

Mungkin ada dikalangan kita semua yang dah merasai sendiri pengalaman memandu di Jalan Lama Seremban – Kuala Pilah yang terletak di Bukit Putus, kaki Gunung Angsi. Jalan yang penuh dengan liku, sempit, menjadi laluan lori yang sarat dengan muatan dan kawasan yang sering dilanda bencana kemalangan jalan raya. Memang pendek kata dah berpuluh nyawa yang terkorban semenjak kali pertama jalan tersebut dibuka. Jalan yang juga turut menjadi kegilaan mat-mat rempit melayan selekoh begitu juga budak kereta yang sering menunjukkan lagak driftingnya dijalan tersebut.

Kini jalan yang turut dihujani dengan pelbagai kisah-kisah seram, pelik dan misteri itu menjadi lengang dan sunyi dengan terbinanya jalan baru yang menghubungkan Seremban – Kuala Pilah. Jalan raya baru tersebut telah dibuka semasa berlangsungnya Majlis Pertabalan Yam Tuan Negeri Sembilan yang baru bagi memudahkan perjalanan ke tapak isitiadat diadakan di Seri Menanti. Kemudian jalan ini telah ditutup semula bagi kerja-kerja mengemas dan menyiapkan projek-projek berkaitan. Dan telah dibuka semula sehari sebelum berlangsungnya perayaan Hari Raya Haji serta dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.

Jalan baru ini telah mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kerap terjadi di jalan lama. Dengan dua lorong yang dibuka untuk ke Kuala Pilah serta satu lorong untuk ke Seremban sedikit sebanyak mengubah pengalaman pemanduan yang selama ini penuh dengan likuan dan dihantui dengan risiko yang mungkin terjadi. Dari jalan baru ini kita boleh nampak keseluruhan banjaran yang menjadi tulang belakang kepada Gunung Angsi. Dengan suasana yang nyaman kita boleh menikmati pemandangan yang indah di sepanjang perjalanan itu.

Pada malam hari kita akan dapat menikmati pemandangan seluruh bandar Seremban ketika menyusuri turun dari jalan baru tersebut. Dengan simbahan lampu yang terdapat di bandar Seremban seolah-olah kita berada di awangan. Jadi begitu mudah sekarang untuk anda menghala ke Utara dengan terbinanya jalan baru Seremban – Kuala Pilah ini. Hanya lima minit masa perjalanan yang diambil berbanding 10 – 15 minit jika melalui jalan yang kini menjadi Lagenda dan akan diingati jasanya suatu ketika dahulu.

No comments:

Post a Comment