Tuesday, February 15, 2011

Karanganku yang bertajuk “Majlis Persandingan Pak Lan bersama Azura (Pihak Wanita)”





21 November 2010, Ahad
Segamat

Hari ini genaplah usia aku 26 tahun dan bermakna aku masih ada baki 4 tahun lagi sebelum menjejaki usia ke era 30 an. Hehehe....Dan hari ini juga adalah hari yang berbahagia sekali buat bakal pengantin yang juga bakal raja sehari. Dimana hari ini adalah hari bersejarah buat Pak Lan yang akan menamatkan zaman bujangnya yang akan berlangsung majlis pernikahannya bersama cik Azura (a.k.a. Mak Lan, since these day and forever) di Segamat (Rumah pihak perempuan).

20 November 2010, Sabtu
Dan sebelum tibanya hari bersejarah ini, yakni hari semalamnya aku, Ijam dan Pak Lan telah bermalamlah di Bandar Segamat. Dan hotel tempat penginapan kitorang terletak berhampiran dengan rumah pengantin perempuan. Dan ini memudahkan lagi untuk kami (Rombongan Pengantin Lelaki) untuk ke sana.Untuk perjalanan majlis tersebut aku telah dilantik oleh Pak Lan untuk menjadi pengapit tetap majlis pernikahan mereka berdua, baik di majlis belah perempuan sehinggalah berlangsungnya majlis belah lelaki. Aku goyang juga bila jadi pengapit terjun ni, maklumlah baru first time. Buktinya pun ada dalam facebook yang connected dengan Pak Land an saudara-mara ku sekalian.

Malam kitorang bermalam di hotel tersebut, tanpa dijangka rupa-rupanya saudara-mara dari Singapura turut menginap di hotel tersebut. Semuanya gara-gara black-out yang tiba-tiba menyerang beberapa blok di sekitar Bandar Segamat. Habis sebahagian Bandar Segamat bergelapan sementara malam tersebut. Aku pun turut menjadi mangsanya. Mana taknya tengah syok-syok mandi tiba-tiba duniaku gulap gulita tanpa disinari cahaya. Malam yang betul-betul menguji pengantin lelaki kita. Dah la dari siang aku tengok Pak Lan ok asyik mengadap buku Sakinah tu (Untuk bakal pengantin dan yang telah berkahwin khususnya di Selatan tau kot pasal upacara Sakinah ni). Lepas tu tak berhenti-henti dok practice cara-cara nak jawab sah depan tok imam dan wali yang akan menikahkannya. Agaknya memang macam tu la ye perasaan orang yang nak berkahwin ni ye. Macam-macam rasa ade sampai tak boleh kata, aku pulak naik risau tengoknya.

Hari Bahagia Kini Tiba Masanya...
Macam biasalah bila dah bangun pagi-pagi kena bersiap-siap, maklumlah aku jadi orang kanan pengantin kenalah follow pengantin survey rumah perempuan sambil-sambil tu kenalah tenangkannya agar tidak risau. Mulanya aku budget nak pakai baju biasa je dulu untuk majlis pernikahan sebab baju yang sepatutnya aku pakai still ondaway dari Muar. Jauhnya baju aku berjalan. Tetapi selepas tunggu punya tunggu rombongan dari Muar tiba, barlah aku kena tukar persalinan aku juga.

Setelah semuanya selesai dan rombongan dari Singapura dan Muar telah bergabung, jadi kami pun bergerak menuju ke rumah pengantin. Peluh dingin kelihatan membasahi tengkuk pengantin lelaki begitu jugalah aku yang duduk di sebelahnya. Selepas semuanya selesai, kini tibalah masanya tok imam yang menjadi jurunikah menjalankan tugasnya dengan pertanyaannya yang dibalas dengan jawapan pengantin lelaki. Selepas keluar perkataan sah dan pemerhati semuanya pun mengesahkannya, maka dengan senafas sahajalah Pak Lan melafazkan lafaz nikahnya itu. Kini dengan rasminya Pak Lan kini menjadi suami kepada Azuranya.

Tetapi majlis belum lagi berakhir. Selepas selesai sahaja lafaz nikah tersebut. Dan surat nikah pun ditandatangani oleh saksi. Pak Lan diarahkan tok imam untuk melaksanakan sembahyang sunat sebagai tanda kesyukuran. Dan selepas itu majlis diteruskan pula dengan upacara Sakinah dimana penjaga buat pengantin wanita (Ayah & Emak) perlu membaca surat perlepasan dan penyerahan amanah dan tanggungjawab kepada pengantin lelaki. Dengan jujuran air mata, emak pengantin menggagahkan juga untuk membaca surat tersebut. Suasana ketika itu agak sayu sekejap dengan peristiwa itu.

Dan selepas berakhirnya urusan tersebut kini tibalah acara membatalkan air sembahyang dimana pengantin lelaki menyarungkan cincin ke jari pengantin wanita dan seterusnya sempurnalah tugasnya kini di alam bujang dan kini berada di dunia berumah tangga. Tergambar keriangan di hati Pak Lan dan segala kegusaran hilang entah kemana.

Berarak sambil diiringi paluan kompang...
Dan sekarang tibalah masanya untuk majlis persandingan bermula, selepas tibanya pasukan kompang kami pun berjalanlah menuju ke pelamin yang sudah dinanti oleh pengantin wanita. Sebelum sempat tiba ke pelamin pengantin lelaki kenalah tempuh tiga sekatan (Tol) sebelum boleh menemui pasangannya. Peringkat pertama biasalah anak-anak kecil yang mengusainya. Sekatan kedua pula dikawal pula oleh yang bujang-bujang dan tol ketiga lagi kukuh sebab dikawal oleh makcik dan pakcik Azura. Tetapi kami berjasa membolosi sekatan ketiga memandangkan orang kuat (Pak Long) telah berada dekat dalam rumah (tempat pelamin) sambil berdondang dendang dengan orang rumah. Kecohhh kejap suasana dibuatnya.

Dan selepas melepasi ketiga-tiga halangan kini pasangan pengantin disatukan. Bermulalah upacara yang lazim dijalankan di semua majlis perkahwinan. Aku pun jadilah tukang kipas dan lap peluh pengantin. Kita sambung pula cerita untuk majlis di sebelah lelaki pula selepas ini.

No comments:

Post a Comment