Wednesday, January 6, 2010

Padang, Kini Kau Lengang semula.


Dulu pernah suatu ketika dulu, ia menjadi tempat yang begitu dibanggakan penduduk sekitar dengan diwarnai dengan bermacam jenis acara dan temasya. Dulu di padang inilah tempat yang menjadi latihan anak-anak muda untuk mengasah bakat mereka di arena kebangsaan. Dan di padang inilah tempat yang menjadi latihan untuk meningkatkan mutu permainan pemain kita.

Setiap petang pasti adanya acara yang berlansung. Dengan berlansungnya permainan sepak bola sehinggalah menjadi kawasan permainan buat anak-anak kecil. Begitu meriah sekali. Ingat lagi aku ketika melihat perlawanan yang menyaksikan pertembungan gergasi, nama-nama gah di arena sepak bola ketika itu seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Suh Ching Ann dan ramai lagi yang berbakat besar.

Dan di padang inilah diadakan pungutan suara untuk memajukan prasarana untuk kemajuan sukan setempat. Dan selepas terjadinya kejadian amok suatu ketika dulu dan setelah ramai yang menjadi mangsa berdarah amukkan itu, kegemilangan padang itu terus dilupakan dan menjadi lagenda. Kemudian dengan semangat serta dasar baru padang itu dihidupkan kembali oleh sekumpulan anak remaja yang ingin memajukan diri mereka dalam arena sepak bola. Dan sudah semestinya idola mereka adalah bintang yang pernah beraksi di padang tersebut.

Saban hari,setelah dihidupkan kembali padang ini kembali aktif dengan latihan sukan yang dijalankan. Sekaligus menjadi tempat riadah untuk warga setempat. Dari sepak bola, berlari, berjoging sehinggalah menjadi gelanggang kanak-kanak bermain permainan seperti cakar ayam atau konda kondi, galah panjang, rounders, baling selipar dan permainan-permainan yang pernah popular sekitar 80 an hingga 90 an dulu.

Kini dengan pesatnya kemajuan yang melanda di serata dunia, padang ini mula dilupakan semula. Anak-anak moden pada hari ini lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah menghadap gadjet yang canggih dan berteknologi. Terus dilupakan betapa gahnya padang yang berada hampir dengan penempatan mereka. Ditambah pula dengan terbinanya komplek sukan yang baru, berhampiran dengan padang tersebut menambahkan lagi isu kekosongan itu.

Kini hanya semak samun dan belukar yang mula mengusai padang. Kemuncup yang bermaharajalela di seluas padang itu. Padang mula dilitupi daun-daun kering. Ular dan binatang-binatang liar yang kecil mula bersarang disitu. Terus dilupakan. Kerna Padang, kini kau lengang semula. Entah berapa lama, mungkin untuk sementara waktu atau mungkin jua untuk selamanya.

Cerita ini hanya nukilan dariku semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan watak yang dipaparkan pada keratan gambar tersebut.

2 comments: